Lebih Elok Berjauhan... Salam Syawal.
Tiada lagi mimpi-mimpi yang kuanggap indah, kini kenyataan pula semakin menyedarkan,
Bahawa yang manis itu semua hanya sekadar anggapan yang berada di fikiran.
Tapi kenyataan yang nyata, jaraknya lebih jauh bagai langit dan bumi...
Impian dan harapan yang ku bendung selama ini,
Ternyata hanya sebuah ilusi nan panjang bagiku bermimpi di alam nyata,
Setelah bergelumang di dalam mimpi dongeng di waktu lena.
Sesungguhnya, memang benar...
Masa dan jarak merubah segalanya.
Masa menguji kesabaran ku untuk menunggu,
Dan jarak pula, ia menyedarkan diri bahawa yang mendekatkan adalah sebuah harapan,
Dan yang menjauhkan adalah kenyataan...
Kenyataanlah yang bertakhta di hidup kita, dan tak akan mungkin ianya digantikan dengan khayalan.
Apa guna berkhayal pada waktu pagi dan malam, sehinggakan termimpi di alam yang nyata?
Kenyataan, sungguhpun menyakitkan...
Tapi itulah jawapannya, dan dia lah (kenyataan) yang sebaik-baik pendidik untuk mengajar kita menjadi dewasa.
Lebih elok berjauhan, daripada dekat tapi tak diacuhkan...
Biarlah bersendirian,
Walaupun sepi... asalkan jasad tidak dikeji.
Biarpun tangisan sering berlinangan, tapi senyum masih boleh diukir...
Kerana yang pedih, yang perit, dan yang sakit sudah terhenti,
Dan yang tinggal hanyalah baki semalam...
Meskipun masih ada sisa-sisanya...
Masih ada kemanisan yang dapat ditambah sambil kaki melangkah pergi.
Tapak tangan walaupun tidak ada yang sudi bersalaman...
Tapi tetap ku hulurkan ke langit, dan berdoa akan kesejahteraannya.
Kasih dan sayang, biarpun tidak kesampaian...
Namun masih kekal berterbangan di angin lalu, walaupun tak diterima.
Rindu memang rindu, tapi apa erti merindu kalau yang dinanti tidak sudi?
Bak kata pepatah... ukur baju di badan sendiri.
Mungkin sudah ternyata, bahawa diri ini terlalu hina untuk diterima...
Biarlah tersungkur di jalanan, aku lebih rela berjauhan.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin.
- Qadeem Zieman