Bila Beras Hancur Hendak Dibuat Songket Tenun, Maka Pupuslah Emas Nan Gemilang

Byline: Qadeem Zieman

 

Baru-baru ini saya ada memberi komen yang agak mendalam mengenai seseorang individu yang kini diangkat sebagaing penggiat seni setelah beliau bercerai dengan bekas suami. Yang juga merupakan seorang penyanyi dari negara Singapura. Namun ada yang tidak berpuas hati dengan kenyataan yang diberi, dan menganggap bahawa saya ini sebagai seorang yang tidak berpengalaman. Hakikatnya, walaupun saya merupakan seorang penulis, yang selama ini lebih kerap menulis di dalam Bahasa Inggeris, saya juga merupakan seorang anak seni, dan arwah ibu saya pula merupakan pengasas mStar yang juga pernah bertugas sebagai penulis kolum yang diberi nama ‘Kolum Kakaktua’.

Pendek kata, saya bukanlah seorang penyanyi yang hebat, jauh sekali hendak disohor. Namun adalah juga ‘kepakaran’ yang boleh dirujuk biarpun tidak seberapa. Saya tahu erti menghargai nilai seni, arwah Mama dulu bukan sahaja sekadar penulis biasa, beliau merupakan pengarang veteran yang disegani ramai, sebut sahaja nama ‘ZIEMAN’, sudah pasti ramai selebriti yang gerun… pernah juga beliau disaman oleh Biduanita Negara sebanyak RM10 Juta pada tahun 2004. Waktu itu, umur saya masih belum mencecah 1 tahun. Mama merupakan penulis lirik, skrip, pantun dan penyair, dan pernah menghakimi pelbagai pertandingan-pertandingan yang berprestij. Tidak masuk akal jika saya, Qadeem Zieman, membawa nama agung arwah Mama hanya untuk membiarkan perkara ini diperlekehkan, ianya merupakan satu penghinaan yang besar bagi saya.

 

Walaupun arwah menggemari nyanyian saya sewaktu di lobi hotel Singgahsana dulu, Mama tidak pernah gemar dengan Impian saya untuk menjadi seorang penyanyi, sehinggalah dia melihat saya bernyanyi di rumah terbuka kami yang diadakan di Seri Pacific Hotel pada tahun 2018 bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Waktu itu, saya menyanyikan lagu Pulanglah dari Aishah Bersama dengan Rozita Rohaizad. Sejak dari situlah bermulanya Mama memberi saya sokongan dalam bidang itu. Dengan itu, Mama berkata bahawa jikalau hendak berbuat sesuatu perkara itu, janganlah fikir tentang ‘penghargaan’ berpanjangan… sebaliknya, ingatlah bahawa sesuatu yang sering dianggap remeh itu mungkin akan membawa nilai besar bagi sesetengah pihak. Jadi buatlah dengan seikhlas hati. Baik menyanyi, berlakon, ataupun menulis.

Dari kenyataan itu, saya sedar bahawa jika saya hendak menjadi seorang penyanyi, saya perlu belajar dahulu cara-cara nyanyian dan cara pembawaan diri, agar tidak kelihatan seperti ‘Cik amah gila bergincu merah’ bak kata arwah atuk. Saya kekal mengingati titipan arwah Mama sehinggalah ke hari ini, dan ‘melapor diri’ ke The Singing Shop di Amcorp Mall untuk berlatih. Tetapi jujur saya katakan, saya masih merasakan diri ini serba kekurangan, terutamanya apabila Radhi Khalid dan Rozita Rohaizad menjemput saya ke pentas. Kerana bimbang tak mencapai tahap yang Mama ingini.

Malah, hingga ke hari ini saya masih merasa segan untuk menonjolkan diri sebagai seorang penyanyi kerana saya sering mengingati bahawa ada lebih banyak orang di luar sana, yang lebih berbakat besar dari saya, dan itu membuatkan saya rasa tercabar untuk memperbaiki diri dengan menduduki perperiksaan nyanyian GUILD Australia, dalam pada bersyukur atas rezeki yang saya diberi untuk merakan beberapa lagu ciptaan Rosli Bin Ahmad dan Pay Caramel dari Indonesia sebelum ini.

 

Lagu dan irama, terutamanya di Malaysia, merupakan sesuatu yang amat berharga, ibaratkan kain songket tenunan emas. Tetapi sayang sekali bila ramai yang mula mencetak rompak corak-corak keramat. Kini, terlalu banyak songket yang ditenun oleh mesin menggunakan benang plastik yang berwarna emas. Terlalu banyak sehinggakan yang benar-benar asli kian tak kelihatan, dan jauh sekali hendak dipeduli. Dan oleh kerana harganya terlalu murah, bukan hanya sekadar banyak yang diborong, malah banyak juga yang memborong, ini membuatkan pemborong mula kehilangan ilmu dalam menilai. Sedih sekali saya lihat apabila industri seni di Malaysia ini kian di palsukan oleh orangnya sendiri. Bagai senikata lagu nyanyian Rozita Rohaizad, ‘Gugurnya mawar desa’. Bila beruk masuk ke bandar, hilanglah semua seni keaslian yang sering dianggap ‘Kampung’. Ramai yang hendak mengikuti perkembangan Negara luar sehinggakan budaya sendiri dibuang jauh.

Ada sebabnya saya berkata bahawa individu itu BUKAN seorang penggiat seni. Ada yang berkata bahawa dia telah bermula menyanyi sejak umurnya kecil lagi. Tapi bagi saya, inilah hasilnya apabila beras hancur hendak dibuat songket tenun. Bukan beras yang hendak dipakai, tapi benang yang kita butuhkan! Mana mungkin beras boleh dijadikan kain?

 

Beliau bukanlah seperti Ziana Zain yang kalau tak keluar lagu lebih sedekad pun orang masih kenal, Kalau setakat budak-budak, tak perlu diambil kira sebab masih budak pada masa itu dan dia tidak mengekalkan tempatnya, bermaksud dia tak kekal aktif sebagai penyanyi dari kecil. Dan kalua hendak dikirakan sekali pun, pada usianya masih kecil dulu, beliau bukanlah setaraf dengan Agnez Monica. Memang bakat perlu diasah dari kecil, tapi kalau diasah tak sampai timbul bisa apa gunanya? Banyak lagi orang yang berlakon jadi extra, tambah lagi zaman sekolah menengah. Ada yang jadi model, pelakon, pelakon teater lagi. Tapi mereka hanya buat itu untuk seketika, jadi ianya tidak terkira. Jika dicari dalam Sejarah music Perancis, pasti akan jumpa nama ‘Dalida’, The French Disco Diva. Biarpun begitu, adiknya yang disapa sebagai Orlando tidak ramai yang tahu walaupun dia pernah dipasarkan sebagai artis rakaman melalui beberapa Album, dan merupakan penyanyi asal lagu-lagu yang dipopularkan oleh orang lain selepas itu pada era hip-hop remix. Kenapa? kerana dia sendiri yang mengaku bahawa dia hanya sekadar melintas jalan untuk test market. Oleh kerana itu, di sana, dia dikenali sebagai producer dan bukan sebagai penyanyi profesional. Dia merupakan producer yang berkerjasama dengan Dato' Shake di France.

Individu tersebut, bagi saya BUKANLAH seorang penggiat seni, sebaliknya ianya adalah satu penghinaan yang agak besar apabila orang-orang sepertinya diangkat dan disanjung sebagai ‘artis tanahair’ tanpa sebarang ulangkaji yang dibuat untuk menyemak kredibilitinya, dan seniman-seniman yang benar-benar bertauliah dan layak pula di anak-tirikan. Sedih sungguh sedih hati bila mengenang keadaan industri hiburan yang dahulunya pernah digelar ‘Malaywood’ kini bertukar menjadi ‘Freakshow’!

Popular Posts